Variasi Hidangan Madu Memikat Selera Kini Di Bangsar

Variasi Hidangan Madu Memikat Selera Kini Di Bangsar

Credit: Getaran View Original Threat

Gedung madu tersohor, Jungle House dengan cogankata 'Segalanya Madu' tampil keunikan bertujuan menggalakkan budaya dan amalan pengambilan madu demi kesejahteraan hidup.

Siapa yang tidak gemarkan hidangan manis yang memikat selera? Namun, ramai juga yang berhati-hati kerana maklum pengambilan gula yang berlebihan boleh mengundang risiko kesihatan. Jadi, tidak hairanlah ramai yang beralih kepada madu untuk memanjakan lidah.

Baru-baru ini jenama madu, Jungle House telah melancarkan jenama mereka secara rasmi di Malaysia sempena pembukaan cawangan ke-9 mereka yang terletak di Jalan Telawi Bangsar, Kuala Lumpur. 

Sebagai sebuah gedung madu utama di Malaysia, Jungle House menyerlahkan keunikannya dengan membawakan cogan kata ‘All Things Honey’ (Segalanya Madu) yang bertujuan untuk menggalakkan orang ramai menghargai madu serta membudayakan amalan menikmati madu demi kesejahteraan hidup.

Cawangan terbaru Jungle House ini cukup istimewa kerana ia yang pertama membawakan konsep kafe yang membolehkan pengunjung menjamu selera di sini.

Menampilkan dekorasi santai dan terbuka, kafe ini menyajikan pelbagai makanan dan minuman berinspirasi madu termasuk oat sarapan madu, kek madu rusia, pelbagai jenis 'croffles' (gabungan croissant dan wafel), kopi madu, teh dan jus yang kesemuanya digandingkan dengan jenis dan perisa madu yang khusus. 

Kafe baharu ini membolehkan mereka yang sentiasa sibuk beristirahat seketika sambil menjamu selera dengan pelbagai hidangan memikat selera.

Selain itu, mereka juga boleh membeli-belah di kedai runcit Jungle House yang menawarkan bermacam-macam produk berasaskan madu, pelbagai set hadiah dan juga produk penjagaan peribadi seperti sabun madu, pelitup muka dan juga cenderahati lain.

Pada majlis pelancaran itu, pengasas dan pemilik bersama Jungle House, Paul Poh dan Ashley Lam tidak melepaskan peluang memperkenalkan hidangan terbaharu di dalam menu, iaitu ‘Honey-misu’, sejenis manisan yang sihat tetapi tidak kurang lazatnya, selain bercerita tentang madu-madu popular keluaran mereka iaitu Royal Black, Royal White dan Signature Honey Variety. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Paul Poh, Jungle House berhasrat untuk membawakan madu mentah asli dari sarang lebah terus ke rumah, dengan kerjasama komuniti orang asli terutamanya dari hutan belantara Indonesia, Thailand dan Malaysia.  

Jungle House sentiasa berusaha menaik taraf dan menjamin kelestarian industri lebah, melindungi dunia dengan mengajar kaedah penjagaan lebah yang betul untuk menyelamatkan ekosistem dengan melindungi populasi lebah.

Jungle House mempunyai lebih daripada 10 jenis madu asli, monofloral, mentah, tulen, tanpa sebarang perisa tiruan termasuk Royal Black (nektar iaitu madu bunga yang diekstrak daripada pokok Mahoni), Royal White (nektar bunga Kiawe), Jungle’s Heart (nektar bunga Strawberi), Yellow Love (nektar bunga Linden), Sweettooth (nektar bunga mangga), Jungle’s Eye (nektar bunga longan), Pink Lady (nektar bunga kapas), Roast Cube (nektar bunga kopi), Citrus Bloom (nektar bunga oren) dan Fruit Boss (nektar bunga durian). 

“Kami menawarkan produk madu biasa dan juga madu hutan liar premium kepekatan tinggi seperti Royal Black dan Royal White yang sangat jarang ditemui dan mengandungi khasiat perubatan yang bermanfaat untuk kesihatan.

Sesungguhnya setiap titisan madu amat berharga dan jarang ditemui kerana bekalan rendah daripada hutan liar dan tidak diperolehi dari ladang. Oleh yang demikian, kita perlu memulihara koloni madu supaya ekosistem dan juga perniagaan adalah lestari,” jelas Paul. 

“Kami bertekad untuk menjadikan madu mentah lebih mudah didapati dan mampu dibeli semua rakyat Malaysia. Kami juga menggalakkan orang ramai untuk menikmati madu sebagai pengalaman gaya hidup harian untuk meningkatkan kesihatan secara semula jadi,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, perunding diet, Indra Balaratnam yang turut menjadi tetamu jemputan pada majlis tersebut turut berkongsi tentang khasiat dan manfaat madu kepada tetamu yang hadir. 

“Madu mempunyai pelbagai khasiat, serta kaya dengan mineral dan vitamin, antioksidan dan enzim yang membantu meningkatkan keimunan dan melindungi badan kita.

Selain itu, madu mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antimikrob, yang baik untuk badan dan membantu meringankan gejala batuk dan sakit tekak, menjadikannya amat berguna untuk menentang gejala COVID-19,” ujar Indra. Â